Friday 15 July 2011

memahami ayat pasif

Ragam ayat dalam Bahasa Melayu, ialah ragam ayat aktif dan ragam ayat pasif. Dua perkara yang membezakan ayat aktif daripada ayat pasif ialah kedudukan subjek dalam ayat dan kata kerja yang digunakan.
Dalam ayat aktif, subjek menjadi judul ayat itu dan kata kerja yang digunakan ialah kata kerja aktif transitif yang berimbuhan meN-…. 

Contoh ayat aktif:
a) Anak anjing Felix mengejar kucing jantan Maria.

Ayat pasif ialah ayat yang mengutamakan objek (objek dijadikan judul) dan kata kerja pasif yang berimbuhan di-…, teR- … beR-…, ke-…-an atau mempunyai kata kena sebelum kata kerja. Kata kerja pasif (kata kerja dasar) tidak menerima sebarang imbuhan bagi kata pasif diri pertama dan diri kedua. 
Contoh ayat pasif:
a) Kucing jantan Maria dikejar oleh anak anjing Felix.
b) Anak anjing Marsha dikejar oleh kucing jantan Mawi.
c) Anak anjing Cheong terkejar oleh saya tadi.
d) Kucing jantan Ina terkejar adik saya.
e) Baju sekolah saya sudah berbasuh.
f) Baju itu belum bergosok.
g) Kami kehujanan semasa menjalani latihan bola sepak semalam.
h) Anak kucing jiran saya kelaparan kerana jiran saya sudah tiga hari pergi melancong.
i) Perompak yang merompak kedai emas itu sudah kena tangkap.
j) Beberapa ekor kera liar yang memasuki rumah saya sudah kena tembak. KATA KERJA TRANSITIF TANPA IMBUHAN
Biasanya, semua kata kerja transitif aktif menerima awalan meN-… kecuali kata makan dan minum.
Contoh ayat daripada kata makan dan minum:
a) Pada ketika itu, kami sedang makan sate di sebuah gerai di Kajang.
b) Kanak-kanak itu sudah minum air mineral yang diberikan kepada mereka. KATA KERJA BERAWALAN MEN-… TANPA OBJEK (KATA KERJA TAK TRANSITIF) 

Kata kerja transitif aktif digunakan dalam ayat aktif transitif yang mengutamakan subjek ayat sebagai judul. Objek yang mengikuti kata kerja transitif aktif terdiri daripada kata nama, frasa nama, atau klausa komplemen.
Namun begitu, terdapat juga ayat transitif aktif yang tidak mempunyai objek kerana objek kata kerja transitif aktif dalam ayat itu digugurkan. Kekeliruan yang dihadapi oleh pengguna bahasa Melayu adalah untuk membezakan kata kerja transitif aktif daripada kata kerja tak transitif yang berawalan meN-….
Hal ini mudah difahami kerana ayat mempunyai kata kerja transitif aktif dapat dipasifkan, tetapi ayat yang mempunyai kata kerja tak transitif tidak dapat dipasifkan. 
Contoh kata kerja tak transitif yang berawalan meN-… dalam ayat: 
a) Syarini akan menjadi seorang pegawai tentera apabila ditauliahkan kelak.
b) Budak-budak itu berlari sambil menyanyi di padang sekolah.
c) Padi di sawah nenek sudah menguning. Walaupun dikatakan semua kata kerja transitif aktif mesti menerima objek, terdapat banyak juga kata kerja transitif aktif yang tidak diikuti oleh objek kerana objek kata kerja transitif aktif itu digugurkan (berlaku proses pengguguran objek dalam ayat). Namun begitu, ayat berkenaan masih juga gramatis. Contoh ayat transitif aktif yang objeknya boleh digugurkan:
a) Bapa saya sedang mengarang di dalam biliknya. (objek yang digugurkan: buku, cerpen, novel, sajak, dan sebagainya)
b) Emak memasak di dapur. (objek yang digugurkan: gulai, dalca, nasi, dan sebagainya)
c) Adik sedang melukis. (objek yang digugurkan: gambar kucing, gambarajah, graf, dan sebagainya)
d) Saya telah memancing. (objek yang digugurkan: ikan di dalam kolam itu)
e) Mereka sudah makan pagi tadi. (objek yang digugurkan: nasi lemak, roti canai, dan sebagainya) Ayat aktif transitif di atas tidak dapat dipasifkan sekiranya objek selepas kata kerja transitif aktif tidak dinyatakan.
Hal ini demikian kerana dalam proses pemasifan ayat, objek dalam ayat aktif transitif perlu dijadikan subjek dalam ayat pasif. Oleh itu, sekiranya ayat-ayat di atas hendak dipasifkan, maka objek dalam ayat itu perlu dinyatakan dan tidak boleh digugurkan. 
Contoh ayat pasif daripada ayat aktif transitif di atas:
a) Buku (cerpen, novel, sajak, dan sebagainya) sedang dikarang oleh bapa saya di dalam biliknya.
b) Gulai (dalca, nasi, dan sebagainya) dimasak oleh emak di dapur.
c) Gambar kucing (gambar rajah, graf, dan sebagainya) sedang dilukis oleh adik.

No comments:

Post a Comment