Tuesday 9 August 2011

Senam seni tari cergaskan badan

SEMUA wanita bukan sahaja ingin kelihatan cantik malah mahukan tubuh badan sentiasa sihat.
Tambahan pula kebanyakan wanita hari ini bukan sahaja menjadi isteri dan ibu, bahkan berkerja bagi menambah pendapatan keluarga yang pastinya akan membuatkan kehidupan seharian begitu sibuk.
Sesibuk manapun perlu juga meluangkan masa untuk aktiviti beriadah bagi menyeimbangkan kehidupan.
Atas dasar itu mendorong sekumpulan wanita dari sekitar Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, menubuhkan kumpulan yang mereka gelar sebagai Senam Tari Jaya.
Aktiviti utama kumpulan ini ialah melakukan senaman dan aktiviti kecergasan beramai-ramai.
Setiausahanya, Mazlina Osman berkata, ia bermula dengan idea untuk mewujudkan kelas senaman khusus untuk wanita sekitar kawasan tersebut.
''Kini kumpulan Senam Tari Sinar Jaya telah berusia lima tahun dan sambutan yang diberikan oleh kaum wanita di kawasan ini untuk aktiviti kecergasan memang menggalakkan," katanya.
Mazlina memberitahu, aktiviti senam tari itu diadakan setiap dua kali seminggu.
''Kelas itu diadakan pada hari Rabu malam dari pukul 9 hingga 10 malam manakala Ahad pula dari pukul 8 hingga 9 pagi,'' katanya.
Jelas Mazlina, sehingga kini Senam Seni Tari itu telah disertai oleh lebih 50 peserta yang berumur dari 12 tahun hingga 58 tahun.
Katanya, sesi senaman itu dikendalikan oleh pengajar iaitu Rohani Siraj dan diadakan di Tingkat 7, Bangunan Komuniti Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.
''Kami juga berbesar hati kerana pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kerjasama dengan membenarkan kami untuk melakukan aktiviti di tempat berkenaan,'' katanya.
Mazlina memberitahu, biasanya selepas mengadakan aktiviti itu pada hari Ahad, kesemua peserta akan bersarapan bersama-sama.
Beliau memberitahu, secara tidak langsung ini akan mewujudkan ikatan persahabatan selain bersenam.

Penyakit tibi mudah merebak


Seorang doktor sedang melihat filem sinar-X pesakit Tibi. - Gambar hiasan


PENYAKIT batuk kering atau Tuberkulosis (Tibi) kembali lagi menyerang. Sesiapa sahaja jangan mengambil mudah kerana Tibi yang dikategorikan sebagai penyakit berjangkit cukup mudah merebak melalui batuk, bersin, ketawa ataupun menyanyi.
Orang dewasa juga lebih mudah menyebarkan Tibi berbanding kanak-kanak maka oleh itu tutuplah mulut apabila batuk.
Kenyataannya penyakit Tibi pada suatu ketika dahulu pernah menjadi pembunuh utama kepada penduduk di negara ini (ketika itu Tanah Melayu - Malaya) di antara tahun 1945 hingga 1957.
Berikutan itu program Kawalan Tibi Kebangsaan ditubuhkan pada tahun 1961 di mana kesemua pesakit dirujuk kepada Pusat Tibi Negara di Jalan Pahang, Kuala Lumpur yang kini dikenali Institut Perubatan Respiratori (IPR).
Program ini telah berjaya mengurangkan kes tibi pada tahap yang dianggap terkawal sehingga negara ini telah dikategorikan beban penyakit tibi sederhana.
Bagaimanapun, sejak tahun 1994 kes-kes baru tibi meningkat dari setahun ke setahun di mana pada tahun 2010 sahaja angkanya mencecah 19,337 berbanding tahun 2009 cuma 18,102 kes.
''Angka ini jelas menunjukkan Tibi kembali lagi ke Malaysia di mana semua rakyat perlu peka supaya tidak menjadi salah seorang mangsanya,'' kata Pakar Perunding Penyakit Tibi IPR, Dr. Ashari Yunus yang ditemui di pejabatnya di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau memberitahu, Tibi berkembang semula di negara ini memandangkan jumlah pembawa kuman HIV, diabetes, kanser dan buah pinggang semakin meningkat.
Begitu juga dengan golongan orang tua, pesakit yang mengambil steroid dalam tempoh yang lama, penagih alkohol secara berlebihan dan juga penagih dadah.
''Golongan ini adalah yang berisiko tinggi terhadap Tibi kerana sistem imunisasi badan yang lemah akan mengaktifkan kuman Tibi yang sedia ada di dalam badan manusia,'' katanya.
Bagaimanapun kata Dr. Ashari, pendatang asing cuma menjadi penyumbang kecil sahaja dalam penularan Tibi di negara ini.
Tambahnya, suntikan pelalian BCG untuk kanak-kanak di negara ini cuma dapat melindungi badan mereka dari penyakit ini sehingga usia 14 tahun sahaja.
Dr. Ashari memberitahu, Tibi memang dikenali penyakit pembawa maut tetapi sesiapa pun tidak perlu bimbang kerana ada ubat penyembuhnya.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada individu untuk segera ke hospital jika mendapati telah dijangkiti dengan kuman Tibi iaitu tubercle bacilli.
''Kuman ini hanya merebak melalui udara dan biasanya akan menjangkiti paru-paru serta organ yang lain seperti selaput otak, tulang, buah pinggang dan kulit,'' kata Dr. Ashari.
Jelasnya, seseorang itu hanya boleh disahkan menghidap Tibi melalui pemeriksaan kahak dan menjalani pemeriksaan x-ray.
Sehubungan itu, katanya, jika mempunyai tanda-tanda batuk berpanjangan lebih dua minggu, batuk berdarah, demam dan berpeluh waktu petang atau malam, maka segeralah ke hospital.
Simptom lain termasuk hilang selera makan atau turun berat badan mendadak, sakit dada semasa batuk atau bernafas secara dalam, mudah letih dan lemah.
Katanya, tidak cukup dengan itu pesakit harus memastikan menerima rawatan mengikut arahan doktor dan memakan ubat yang dinasihatkan selama enam bulan.
''Pesakit ini juga harus memastikan setiap kali bersin menggunakan sapu tangan bagi mengelak kuman ini terbang di udara dan merebak kepada orang lain pula,'' katanya.
Apa yang dikesalkan, kata Dr. Asraf, apabila ada kes pesakit yang 'melarikan' diri sebaik sahaja mendapati dirinya telah pulih selepas menerima rawatan pada peringkat awal.
Beliau berkata, sekalipun pesakit merasakan dirinya pulih tetapi selagi tidak lengkap mengambil ubat dalam tempoh enam bulan maka itu tidak bermakna dia bebas sepenuhnya daripada Tibi.
''Ini kerana prinsip DOTS (Pengawasan Rawatan Jangka Pendek Secara Terus) yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk merawat pesakit Tibi harus diikuti,'' katanya.
Katanya, pesakit perlu mengambil ubat yang ditetapkan selama enam bulan.
"Dua bulan pertama pesakit perlu setiap hari ke hospital kerana perlu makan ubat setiap hari dos yang ditetapkan dengan pemantauan pihak hospital,'' kata Dr. Ashari.
Malah katanya, empat bulan lagi pesakit perlu dirawat setiap dua minggu dan memakan ubat yang disyorkan setiap hari sehingga cukup tempoh selama enam bulan.
''Masalah sekarang ini, seseorang itu sudah tahu dirinya mempunyai tanda-tanda ini tetapi masih melewatkan pemeriksaan untuk menerima rawatan,'' kata beliau.
Katanya, disebabkan penyakit ini dikategorikan berjangkit maka ia akan cepat merebak kepada orang-orang di sekitarnya dengan lebih cepat.
Selain itu, katanya ada yang baru dua bulan menjalani rawatan tetapi selepas itu tidak lagi mengambil ubat yang disyorkan di mana akan mendapat kembali penyakit tersebut.
''Pesakit akan bebas sepenuhnya daripada Tibi setelah lengkap mengambil ubat dalam tempoh selama enam bulan,'' kata Dr. Ashari.

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar MUHAMAD IQBAL ROSLI dan SITI RAFEAH AZANAN

Hayati maksud sebenar tadarus

BULAN Ramadan merupakan bulan diturunkan al-Quran, maka marilah kita sama-sama menginsafi diri dengan membaca al-Quran. Inilah yang dilakukan oleh salaf al-soleh dan Rasulullah SAW sendiri. Persoalan di sini ialah apakah maksud tadarus itu? Adakah hanya membaca atau melihat terjemahan atau bagaimana?
Jika sekiranya dikehendaki dengan membaca, sudah tentu disebut dengan qiraah yang bermaksud bacaan. Justeru maksud tadarus lebih kepada saling semak menyemak dan mempelajari serta mengkaji yang menatijahkan penghayatan dan amalan mengikut hak al-Quran diturunkan.
Seperti kata al-Syahid Hasan al-Banna berkenaan dengan hak al-Quran dalam bukunya Majmu' Rasail: "Saya tidak pernah melihat sesuatu yang kelihatan seolah-olah dijaga rapi tetapi sebenarnya disia-siakan atau seolah-olah dipelihara tetapi sebenarnya diabaikan seperti mana yang berlaku pada al-Quran sebagai sebuah kitab yang lengkap, suatu sistem yang bersepadu dan menjadi tunjang kepada segala urusan agama dan dunia."
Allah SWT berfirman dalam surah al-Fussilat ayat 42 yang bermaksud: Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya, ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.
Menyentuh tentang al-Quran ada tiga perkara penting yang perlu ditekankan oleh umat Islam;
Kerapkan membaca al-Quran, beribadat dengan membaca al-Quran dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan membaca al-Quran.
Meletakkan al-Quran sebagai sumber rujukan kepada hukum dan syariat agama. Al-Quran perlu diambil, dipetik, dicedok dan dipelajari.
Meletakkan al-Quran sebagai asas undang-undang dunia yang akan dirujuk. Fasal-fasal dalam al-Quran yang bijaksana ini perlu dilaksanakan.
Ini adalah objektif utama Allah menurunkan kitab ini dan matlamat Allah mengutuskan Rasul-Nya. Allah SWT mewariskan kitab-kitab-Nya untuk kita agar ia menjadi penasihat, pembimbing, menjadi hukum yang adil dan neraca yang benar.
Generasi silam yang diredai Allah memahami objektif ini, kerana itu mereka bangkit melaksanakan sebaik-baiknya. Ada di kalangan mereka membaca seluruh al-Quran selama tiga hari. Ada yang membaca selama tujuh hari. Ada yang membaca al-Quran kurang dari tempoh itu dan ada yang lebih.
Ada di antara mereka yang tidak berkesempatan membaca al-Quran, mereka akan melihat mushaf al-Quran dan memaca beberapa ayat al-Quran kemudian berkata: "Mudah-mudahan saya tidak termasuk dalam golongan yang menyisihkan al-Quran."
Al-Quran adalah teman mereka. Al-Quran adalah wirid dalam ibadat mereka. Sepanjang malam dan siang mereka akan membaca al-Quran. Semoga Allah meredai khalifah ketika iaitu Saidina Uthman yang masih tidak bercerai daripada mushaf walaupun dikepung dan pedang terhunus di tengkuknya.
Dari awal malam dia membaca kitab Allah. Di hujung malam dia menemui ajalnya
Semoga Allah merahmati orang yang sedang meratap sedih kematiannya dengan ratapan yang paling indah ungkapannya: Mereka membunuh orang tua yang padanya ada tanda sujud. Orang yang menghabiskan malam dengan mengucap tasbih dan membaca al-Quran.
Jika anda kaji sejarah hidup mereka, anda akan dapati tiada seorangpun di antara mereka yang mengabaikan kitab Allah SWT atau tidak membaca kitab Allah selama seminggu. Apatah lagi untuk mengabaikannya selama sebulan atau setahun atau bertahun-tahun. Tidak perlulah saya bentangkan kepada anda kisah-kisah menarik dan mengkagumkan seperti yang tercatat dalam buku-buku sejarah.
Apabila mereka mahu meneroka hukum agama Allah, al-Quran akan menjadi rujukan pertama mereka. Apa lagi jika tidak kitab Allah yang akan menjadi rujukan pertama mereka? Anda dapat lihat bagaimana Nabi SAW telah bersetuju dengan Muaz apabila Baginda bertanya Muaz tentang apakah asas dia menjatuhkan hukuman. Muaz menjawab: "Dengan Kitab Allah. Muaz mulakan dengan Kitab Allah, kemudian barulah diikuti dengan sunnah yang suci."
Anda sendiri tahu bagaimana Umar melarang ramai sahabat yang dihormati daripada menyampaikan hadis kepada orang ramai. Sedangkan mereka begitu hampir dengan zaman Islam, mereka amat tahu tentang hadis dan pelbagai kisah. Apa yang dilakukan oleh Umar itu bertujuan supaya mereka dapat mengajar al-Quran terlebih dahulu kepada orang ramai agar mereka diajar apa yang dihalalkan dan diharamkan oleh al-Quran.
Anda juga tahu bagaimana imam yang masyhur di kalangan tabiin dan tabi' tabiin seperti Sa'id bin al-Musayyab, mereka tidak membenarkan orang ramai menulis fatwa mereka kerana mereka tidak mahu orang ramai hanya tertumpu kepada fatwa mereka dan mengabaikan kitab Allah.
Sa'id pernah mengoyakkan sehelai kertas daripada tangan orang yang menulis fatwanya. Beliau berkata: "Anda ambil kata-kata saya tetapi meninggalkan Kitab Allah kemudian anda pergi sambil berkata Sa'id berkata begini! Sa'id berkata begini! Sepatutnya anda berpegang dengan Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.
Apakah dengan kisah-kisah begini anda tidak dapat melihat bagaimana generasi silam yang soleh dan diredai Allah SWT meletakkan Kitab Allah sebagai asas yang menjadi rujukan ketika mereka mendalami agama dan hukum Allah?
Bagi mereka segala urusan dunia perlu menurut apa yang diperintahkan oleh Kitab Allah dan akur kepada hukum al-Quran.
Segala hak perlu ditunaikan, segala hukuman perlu dilangsungkan, segala hukum perlu dilaksanakan, segala perintah perlu dijalankan. Semua ini tidak boleh dimansuhkan dan diabaikan atau diubahsuai atau dipinda. Itulah yang berlaku suatu ketika dahulu.

Manfaatkan Ramadan melalui Alhijrah

APABILA gadis kacukan Yahudi-Kristian datang berziarah ke Kuala Lumpur semata-mata untuk memahami Islam melalui ibadah Ramadan, maka ini satu kejutan. Manakan tidak, gadis kelahiran New York ini muncul di ibu kota ketika pelbagai tragedi pengeboman Bali baru saja berlalu.
Apa yang dicari gadis yang membesar di Gereja Unitarian ini?
Apakah dengan membaca iklan yang ditawarkan di Lonely Planet cukup untuk meyakinkan gadis yang berkerja sebagai Perunding Risiko? Ini antara elemen persoalan yang menarik - dan penonton akan mendapat jawapan apabila menyaksikan dokumentari empat episod One Month Ramadan in Kuala Lumpur yang akan bersiaran mulai 12 Ogos ini, pada 9.30 malam, setiap Jumaat. Manakala episod kemuncaknya akan disiarkan pada 29 Ogos.
Perjalanan Lydia Perr yang memberanikan diri datang ke Malaysia walaupun diberi amaran keras oleh keluarga dan sahabatnya mengenai ‘ketegangan’ di Asia Tenggara, antara program menarik yang disediakan TV AlHijrah melalui kempen Ramadan Satu Perjuangan.
“Saya sangat mengagumi keberanian gadis ini dia tak pernah tahu Malaysia, tapi dia nekad untuk datang dan berpuasa selama sebulan di sini,” kata Penerbit, Idris Sheikh Ahmad.
Sepanjang sebulan itu, banyak jalur pengalaman dilalui gadis berusia 26 tahun ini, selain berpuasa, Lydia turut menikmati pengalaman berniaga di pasar Ramadan dan menyediakan juadah berbuka.
“Dia juga hadir melihat orang berterawih, malah sempat mengacau dodol untuk Aidilfitri,” kata Idris.
Selain wajah gadis Amerika Syarikat yang merantau untuk menikmati Ramadan di ibukota, kempen Ramadan Satu Perjuangan turut membawa penonton jauh ke Melbourne, Australia.
Bagi melengkapkan kepelbagaian wajah Islam dan perjuangan ibadah puasa di seluruh dunia, TV AlHijrah turut menyediakan program Ramadan di Australia: Brothahood, untuk memberi ruang kepada penonton melihat dengan lebih dekat suasana Ramadan di Melbourne.
Brothahood ialah kumpulan hip hop Islam paling popular di Australia. Melalui kehidupan harian Brothahood yang disertai pelbagai etnik Islam, wajah Ramadan di Australia terserlah dengan silang budaya antara budaya Arab, India dan Turki.
“Brothanhood dipilih kerana komitmen mereka yang konsisten dalam memperjuangkan Islam melalui muzik,” kata Penerbit program, Azhar Adnan.
Perjalanan harian Brothahood yang dianggotai lima anak muda Australia berdarah Arab, Turki dan Myanmar ini, dirakamkan untuk memberi peluang kita melihat suasana bersahur, berbuka, bertarawih serta juadah dan budaya berpuasa di Australia.
Ramadan di Australia: Brothahood akan bersiaran pada 10 malam setiap Jumaat, manakala episod khas Aidilfitri disiarkan pada Jumaat pertama bulan Syawal.
Selain dokumentari, drama Islam antarabangsa turut melengkapkan kepelbagaian genre program dalam merealisasikan Ramadan Satu Perjuangan. Paling memeranjatkan, drama bersiri yang bersiaran sepanjang Ramadan ini dibawa dari Thailand.
Umme, drama 22 episod menjadi drama Islam bersiri pertama disiarkan di negara ini. Selain memberi ruang kepada penonton tempatan untuk mengenal hati nurani umat Islam di Thailand, drama ini juga satu pilihan sekiranya drama-drama tempatan dilihat stereotaip.
Umme menelan belanja RM600 ribu, dan menjadi fenomena kepada umat Islam Thailand ketika disiarkan sepanjang Ramadan tahun lalu. Gandingan pelakon Islam dan bukan Islam, serta disokong kualiti sinematografi industri filem negara Gajah Putih itu, menjadikan siri ini satu yang wajar ditonton.
Berlatar belakangkan tragedi Tak Bai di Narathiwat pada 2004, drama ini mengangkat perjuangan seorang ibu untuk membesarkan dua anaknya setelah suaminya mati dalam rusuhan.
Perjuangan Umme ialah untuk memastikan anak-anaknya berjaya dalam pendidikan, membesar sebagai warga profesional dan menjadi aset kepada pembangunan negara. Tema filem ini, ialah aspirasi seorang ibu untuk menjadikan ilmu pengetahuan sebagai jalan keluar kepada kemiskinan keluarganya, sekaligus memberikan kita impak untuk memahami persekitaran pemikiran umat Islam Thailand.
Umme disiarkan 6 petang, setiap Isnin hingga Khamis.
Selain tiga program dengan latar sejagat ini, kempen Ramadan Satu Perjuangan turut memaparkan 14 lagi program bertemakan bulan ibadah puasa ini. Bagi peminat dokumentari Islam, pilihan anda tentulah Ayat Riwayat.
Ayat Riwayat dokumentari khas terbitan TV AlHijrah menjejak lokasi-lokasi dunia yang sejarahnya dicatatkan dalam Al Quran.
Melihat lokasi-lokasi yang dipaparkan dengan persekitaran masa kini, akan memberi kita ruang memahami sejarah dan peristiwa penting yang dikaitkan dengan tempat-tempat tersebut dan dinyatakan dalam ayat-ayat Al Quran.
Ayat Riwayat akan bersiaran pada 6.30 petang, setiap hari sepanjang Ramadan.
Oleh Zainal Rashid Ahmad

Bersedekahlah walau dengan sebiji kurma

SEMUA orang tahu sedekah itu besar pahalanya, malah sedekah boleh menjadi pendinding kita daripada api neraka. Walaupun bersedekah boleh dibuat pada bila-bila masa namun sepanjang bulan Ramadan, kecenderungan dan keghairahan bersedekah lebih tinggi.
Rasulullah SAW menggalakkan umat baginda bersedekah walaupun hanya dalam bentuk cuma sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera). (Hadis nombor 972 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)
Satu lagi hadis baginda bermaksud: Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata: Bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita mengenai mereka, lalu baginda berlindung kepada Allah daripadanya, dan memalingkan mukanya tidak kali. Kemudian baginda bersabda, Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma. Jika kamu tidak sanggup, maka dengan tutur kata yang baik. (Hadis nombor 973 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)
Ini bermakna amalan bersedekah itu amat dituntut termasuk di kalangan mereka yang miskin. Penerima sedekah barangkali boleh memberi sebahagian daripada sedekah yang diterimanya kepada orang lain yang lebih memerlukan sedekah.
Dengan hanya sebelah buah kurma pun digalakkan bersedekah atau paling tidak pun bersedekah dalam bentuk menggunakan tutur kata yang baik, maknanya dalam konteks kita di Malaysia, tidak ada sebab untuk kita tidak bersedekah walaupun barangkali kita adalah merupakan orang sering diberi dan menerima sedekah.
Orang Malaysia tidak akan membeli hanya sebiji buah kurma untuk berbuka puasa, sebaliknya akan membeli sekotak dan akan dipilih daripada jenis yang baik, malah akan dipilih pula kurma yang diimport.
Tok fakir pun pilih kurma yang ada tangkai atau kurma segar untuk berbuka puasa. Namun, masih ramai umat Islam di negara kita yang memilih untuk menjadi penerima daripada memilih menjadi pemberi sedekah.
Ada yang sanggup sewa kereta berpemandu sehari suntuk untuk membawa satu keluarga meminta sedekah bermula pada minggu ketiga Ramadan dan jumlahnya akan bertambah bila 1 Syawal semakin dekat.
Daripada setiap tangan yang menghulur diharap paling kurang pun RM10. Kalau sekadar hulur RM5 atau RM1, apatah kalau 50 sen atau jumlahnya lebih kecil, pasti peminta sedekah akan tarik muka masam, malah siap dengan seranah lagi.
Kalau pemberi sedekah bertindak balas dengan kata-kata kesat juga, maka hilanglah pahala bersedekah. Anggap saja muka masam dan seranah penerima sedekah kita itu sebagai suatu bentuk ujian. Malah ia akan mendatangkan bonus pahala kepada kita kalau kita mampu bersabar.
Penerima sedekah yang mencerca pemberi sedekah atau tidak berpuas hati dengan jumlah sedekah yang diberikan akan menerima seksa yang pedih.
Ini dijelaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud: Orang munafik, yakni mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka. maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka dengan seksaan yang pedih. (at-Taubah: 79)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah bersabda: Hai, wanita muslimat! Janganlah kamu meremehkan pemberian tetanggamu, walaupun hanya berupa kuku kambing. (Hadis nombor 988 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)
Di samping itu, pemberi sedekah pula dilarang menghitung-hitung sedekah yang diberi dan bakal diberi. Larangan itu terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari Asmai binti Abu Bakar r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: Bersedekahlah kamu dan jangan menghitung-hitung kerana Allah akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu, dan jangan kikir kerana Allah akan kikir pula kepadamu. (Hadis nombor 987 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Allah larang ubah kejadian

Persoalan menukar jantina bukanlah satu perkara yang kecil. Islam menegah perbuatan ini atas alasan menukar ciptaan Allah SWT. Allah SWT menjadikan manusia mengikut kehendak-Nya. Menjadikan manusia dengan rupa paras dan bentuk serta jantina adalah hak mutlak Allah SWT. Saya yakin, walaupun pada pandangan manusia sesuatu kejadian itu cacat tetapi pada Allah SWT itu adalah terbaik untuk hamba tersebut.
Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak semasa membincangkan pernikahan antara Noranizah Mohd Yusuf dengan Richand Badry, telah juga membincangkan masalah hukum menukar jantina mak nyah.
Maka Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak memutusakan bahawa;
lJawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti mengikut hukum yang muktabar dalam Islam.
lPenukaran jantina mak nyah kepada perempuan melalui pembedahan adalah terang bertentangan dengan Islam kerana Allah melarang mengubahkan kejadiannya.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 119 yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.
Walaupun ayat ini menyentuh pengubahan binatang ternakan, tidak bermaksud manusia boleh. Kalau bintang yang tidak berakal, tidak bertaklif pun kita yang berakal ditegah sewenang-wenang dalam mengubahnya apatah lagi manusia yang berakal yang bertaklif lagi tidak boleh.
Ulama Fiqh membahagikan khunsa kepada dua; khunsa wadhih (khunsa yang jelas) dan khunsa musykil (khunsa yang tidak jelas). Khunsa wadhih ialah khunsa yang nyata memiliki tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan dan dapat dibezakan sama ada lelaki atau perempuan semasa bayi oleh warisnya melalui pemerhatian sifat dan ciri alat kelamin tersebut atau berdasarkan dari alat yang mana satu tempat keluar air kencing terlebih dahulu. Jantina dapat dikenalpasti dengan jelas berdasarkan yang mana alat yang lebih dominan berbanding dengan yang satu lagi yang kurang.
Manakala khunsa musykil ialah, individu yang mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat tersebut dan identiti jantinanya sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan setelah baligh.
Musykil ini hilang apabila dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau kuantiti yang paling banyak atau dikira yang paling akhir berhenti. Jantina mereka juga boleh ditentukan setelah baligh dengan tanda-tanda yang dikenal pasti sama ada memiliki ciri-ciri kewanitaan (seperti kedatangan haid) atau kelelakian (seperti tumbuh janggut dan misai).
Dalam kes ketidaktentuan jantina seperti ini, syarak memberi pengecualian kepada golongan khunsa musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan dengan syarat disokong oleh keterangan pakar di bidang tersebut.
Kelonggaran adalah khusus sebagai 'maslahah' atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu dapat menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim dengan lebih sempurna. Kerana penentuan ini ada kaitannya dengan melaksanakan perintah-perintah Allah SWT.
Perbincangan ulama dalam mengharuskan seseorang itu menukar jantina adalah selepas dikenalpasti bahawa dia memang layak kerana ada dua jantina dan dikekalkan jantina yang aktif.
Namun pertukaran jantina kerana kecenderungan seseorang kepada jantina yang bertentangan dengan apa yang dia dijadikan adalah haram dalam Islam, perbuatannya berdosa besar di sisi Islam.
Apa yang berlaku di Malaysia mutakhir ini dalam isu menukar jantina bukan kerana khunsa musykil tetapi jiwa yang berkeinginan menjadi wanita. Jantinanya lelaki tetapi hormon kewanitaannya mungkin mengatasi keinginan kelelakiannya. Keadaan ini tidak boleh menjadi sebab untuk menukar jantina.
Mungkin ini adalah ujian untuk individu tersebut yang sepatutnya diatasi dengan menghampirkan diri kepada Allah SWT dan bersabar dalam menempuh ujian ini.
Mereka yang menukar jantina akhirnya pasti akan menyesal, kerana yang pertama masyarakat sukar menerima kehadiran insan ini. Kedua, menderhaka kepada kedua ibu bapa. Ketiga Allah SWT wujudkan kamu sebagai seorang lelaki tapi pulang kepada-Nya sebagai seorang perempuan.
Menyesal dulu berpendapatan menyesal kemudian tidak berguna.

Tuesday 2 August 2011

Khasiat air kelapa muda

Air kelapa yang secara semula jadi bebas daripada kuman, sebenarnya kaya dengan garam galian. Memandangkan air kelapa merupakan diuretik yang kuat (mendorong kehilangan air), ia membantu pesakit yang menghidapi masalah sukar membuang air kecil dan batu dalam buah pinggang.Selain itu air kelapa bersifat anti bakteria dan digunakan di India untuk mencegah taun.

Bagaimana pun, air kelapa amat 'sejuk" keplada sistem tubuh. Oleh itu ia perlu dielak oleh pengidap lelah & batuk kerana sejuk dan kesakitan lain seumpamanya, termasuk masalah ketika hamil.

Sumber maklumat di atas dipetik dari buku kecil bertajuk "Hakikat sebenar minuman ringan" keluaran Persatuan pengguna Pulau Pinang.

Ini gambar pada 26 Julai 2009 selepas dicantas 2 tandan. Semakin dicantas pokok ini semakin tinggi. Masa mula2 berbuah, tandannya setinggi 4 kaki dari tanah dan boleh dicapai dengan mudah.

Maklumat lain tentang air kelapa ini, dikatakan tidak baik diminum bagi mereka yang pernah mengalami kecederaan (kemalangan) sehingga ada anggota yang patah. Ini kerana air kelapa akan melemahkan anggota tersebut. Begitu juga jika orang yang mengambil ubat hospital, ubat berasaskan dadah/kimia jadi tawar (tak mujarab) dengan minuman air kelapa.

Air kelapa juga biasanya diguna dalam perubatan santau.Ia boleh menawar sihir santau apabila dijampi dengan ayat al-qur'an, apa ayatnya saya belum kaji :)

Hari ini dua tandan lagi kelapa saya disedekahkan kerana sudah matang. Satu tandan terlebih matang dan satu lagi sedang elok. Ada setandan lagi sudah matang dan mengunggu sesiapa yg punya reqki. Sebenarnya ada jiran yg berhajat tetapi dah 2 minggu tak datang ambil. Kelapa ni cepat matang, tak sedap kalau tua. Jadi siapa yg datang dan reqki dia, maka saya berikan sahaja. Saya sendiri pun tak ghairah nak minum sebab dah muak. Sudah ada lebih kurang 20 tandan sejak mula berbuah. Setandan ada 15-20 biji. Kini ada lebih 10 tandan baru muncul, alhamdulillah.

Gempa bumi.


Gempa bumi, adalah suatu fenomena pergerakan permukaan bumi disebabkan oleh pergerakan yang mengejut di permukaan bumi yang berbatu. Gempa bumi berlaku apabila tenaga yang tersimpan dalam bumi, biasanya di dalam bentuk geseran batu, tiba-tiba terlepas.
Gempa bumi diukur dengan menggunakan alat yang dipanggil Skala Richter. Gempa bumi ini boleh digredkan satu hingga sembilan berdasarkan saiznya berdasarkan skala Richter. Gempa bumi juga boleh diukur dengan menggunakan ukuran Skala Mercalli. Gegaran sering berlaku tetapi tidak semua di antara gegaran itu kuat untuk membolehkan kita merasainya.
Tenaga ini disalurkan ke permukaan bumi menyebabkan gelombang gempa bumi. Kajian sains mengenai gempa bumi dan gelombangnya dikenali sebagai seismologi (dari perkataan Greek seismos, untuk menggoncang).
Pusat Gempa Sedunia, 1963–1998
Pergerakan kepingan tektonik global

Isi kandungan

 [sorokkan]

[sunting]Anatomi gempa bumi

Jenis gelinciran
Gempa bumi berlaku setiap hari di bumi, namun kebanyakannya adalah kecil dan tidak menyebabkan apa-apa kerosakan. Gempa bumi kecil juga akan mengiringi gempa bumi besar, dan boleh berlaku sama ada sebelum atau selepas gempa bumi besar tersebut. Ia dipanggil gempa susulan.
Ahli seismologi mengkaji bahagian gempa bumi seperti geseran pada garisan memanjang yang mengakibatkan gempa bumi, apa-apa yang berlaku pada permukaan bumi, cara tenaga bergerak dari dalam bumi ke permukaan bumi dan cara tenaga ini menyebabkan kemusnahan.
Dengan mengkaji bahagian dan proses pembentukan gempa bumi, ahli seismologi mengetahui kesan dan cara meramal kemunculan agar kemusnahannya tidak begitu ketara.

[sunting]Gempa bumi tektonik

Gempa bumi tektonik disebabkan oleh perlepasan tenaga yang terhasil daripada geseran batuan di keretakan memanjang sepanjang batuan sempadan plat tektonik. Tenaga dihasilkan oleh tekanan antara batuan dikenali sebagai kecacatan tektonik. Kesan ini adalah seperti gelang getah ditarik dan dilepaskan dengan tiba-tiba.

[sunting]Gempa bumi gunung berapi

Gempa bumi gunung berapi berlaku berdekatan dengan gunung berapi tetapi mempunyai cara keretakan memanjang yang sama dengan gempa bumi tektonik. Gempa bumi gunung berapi disebabkan oleh pergerakan magma ke atas dalam gunung berapi, di mana geseran pada batu-batuan menghasilkan gempa bumi.
Semasa magma bergerak ke permukaan gunung berapi, ia bergerak dan memecahkan batu-batuan. Ia mengakibatkan gegaran yang berterusan yang boleh bertahan dari beberapa jam hinggalah beberapa hari.
Gempa bumi gunung berapi berlaku di kawasan yang berdekatan dengan gunung berapi, seperti Pergunungan Cascade di barat Laut Pasifik, Jepun, Tanah Tinggi Iceland, and titik merah gunung berapi seperti Hawaii.
Gempa bumi adalah getaran atau gegaran pergerakan permukaan bumi. Gempa bumi biasanya disebabkan oleh pergerakan rekahan geologi, kecacatan zon quasi-planar di kerak bumi. Perkataan gempa bumi juga digunakan untuk menunjukkan kawasan punca. Permukaan bumi sentiasa bergerak dalam pergerakan tektonik, dan gempa bumi berlaku disebabkan tekanan melebihi keupayaan bahan bumi menanggungnya. Keadaan ini sering dijumpai di sempadan plat tektonik di mana kerak bumi atau lithosphere terpisah. Kejadian yang berlaku di sempadan plat dikenali sebagai gempa bumi interplat; gempa bumi dalam plat lithosphere dikenali sebagai gempa bumi intraplat.
Gempa bumi berlaku setiap hari di bumi, tetapi kebanyakannya adalah kecil dan tidak menyebabkan kerosakan. Gempa bumi yang kuat mampu menyebabkan kerosakan dan kehilangan nyawa yang besar melalui beberapa cara termasuk retakkan pecah (fault rupture), getaran bumi (gegaran) banjir disebabkan oleh tsunami, empangan pecah, pelbagai jenis kerosakan muka bumi kekal seperti tanah runtuh, tanah lembik, dan kebakaran atau perlepasan bahan beracun. Dalam gempa bumi tertentu, sesuatu cara kemusnahan lebih menonjol, dan dalam sejarah setiapnya menyebabkan kerosakan dan kehilangan nyawa yang teruk, tetapi kebanyakan gempa bumi, gegaran merupakan paling menonjol dan juga merupakan punca utama kerosakan.

[sunting]Gempa bumi besar pada abad ke-20


TarikhKawasanKekuatan (skala Richter)Ulasan
11 Mac2011Sendai-Jepun8.9Gempa bumi tektonik disertai Tsunami mangakibatkan ratusan ribu penduduk Jepun termasuk Tokyo mengalami rosak teruk dan paling ngeri dalam 140 Tahun.
13 Sep2007Sei-Penuh Jambi7.7Gempa bumi tektonik Ratusan Rumah penduduk rosak ringan dan meragut 4 nyawa.
12 Sep2007Bengkulu7.9Gempa bumi tektonik Meragut 13 nyawa dan tercetus tsunami kecil
27 Mei2006Yogyakarta6.2Gempa bumi tektonik selama 57 saat yang meragut lebih dari 6500 nyawa.
26 Dis2004Aceh8.9Disertai oleh tsunami, ini merupakan gempa bumi yang paling kuat dalam dekad itu.
26 Dis2003Bam (Iran), barat dayaIran6.5Menyebabkan lebih 41,000 terbunuh.
21 Mei2002utara Afghanistan5.8Menyebabkan lebih 1,000 orang mati.
26 Jan2001India7.9Menyebabkan sekurang-kurangnya 2,500 maut biarpun ada meletakkan angka korban seramai 13,000 orang.
21 Sep1999Taiwan7.6Menyebabkan 2,400 maut.
17 Ogo1999barat Turki7.4Meragut 17,000 nyawa.
25 Jan1999barat Colombia6.0Meragut 1,171 nyawa.
30 Mei1998utara Afghanistan danTajikistan6.9Menyebabkan seramai 5,000 orang terbunuh.
17 Jan1995KobeJepun7.2Meragut 6,000 nyawa.
30 Sep1993LaturIndia6.0Menyebabkan seramai 1,000 mati.
21 Jun1990barat laut Iran7.3Meragut 50,000 nyawa.
17 Dis1988barat laut Armenia6.9Menyebabkan 25,000 maut.
19 Sep1985Mexico Tengah8.1Meragut lebih 9,500 nyawa.
16 Sep1978timur laut Iran7.7Menyebabkan 25,000 maut.
28 Jul1976TangshanChina7.8Menyebabkan 240,000 orang terbunuh.
4 Feb1976Guatemala7.5Menyebabkan 22,778 terbunuh.
29 Feb1960barat daya pesisiran pantai Atlantik diMaghribi5.7Menyebabkan kira-kira 12,000 maut dan memusnahkan keseluruhan bandarAgadir.
26 Dis1939Wilayah Erzincan,Turki7.9Menyebabkan 33,000 orang maut.
24 Jan1939ChillanChile8.3Menyebabkan 28,000 maut.
31 Mei1935QuettaIndia7.5Meragut 50,000 nyawa.
1 Sep1923YokohamaJepun8.3Meragut sekurang-kurangnya 140,000 nyawa.
  • Sumber: Associated Press