Tuesday 9 August 2011

Senam seni tari cergaskan badan

SEMUA wanita bukan sahaja ingin kelihatan cantik malah mahukan tubuh badan sentiasa sihat.
Tambahan pula kebanyakan wanita hari ini bukan sahaja menjadi isteri dan ibu, bahkan berkerja bagi menambah pendapatan keluarga yang pastinya akan membuatkan kehidupan seharian begitu sibuk.
Sesibuk manapun perlu juga meluangkan masa untuk aktiviti beriadah bagi menyeimbangkan kehidupan.
Atas dasar itu mendorong sekumpulan wanita dari sekitar Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, menubuhkan kumpulan yang mereka gelar sebagai Senam Tari Jaya.
Aktiviti utama kumpulan ini ialah melakukan senaman dan aktiviti kecergasan beramai-ramai.
Setiausahanya, Mazlina Osman berkata, ia bermula dengan idea untuk mewujudkan kelas senaman khusus untuk wanita sekitar kawasan tersebut.
''Kini kumpulan Senam Tari Sinar Jaya telah berusia lima tahun dan sambutan yang diberikan oleh kaum wanita di kawasan ini untuk aktiviti kecergasan memang menggalakkan," katanya.
Mazlina memberitahu, aktiviti senam tari itu diadakan setiap dua kali seminggu.
''Kelas itu diadakan pada hari Rabu malam dari pukul 9 hingga 10 malam manakala Ahad pula dari pukul 8 hingga 9 pagi,'' katanya.
Jelas Mazlina, sehingga kini Senam Seni Tari itu telah disertai oleh lebih 50 peserta yang berumur dari 12 tahun hingga 58 tahun.
Katanya, sesi senaman itu dikendalikan oleh pengajar iaitu Rohani Siraj dan diadakan di Tingkat 7, Bangunan Komuniti Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.
''Kami juga berbesar hati kerana pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kerjasama dengan membenarkan kami untuk melakukan aktiviti di tempat berkenaan,'' katanya.
Mazlina memberitahu, biasanya selepas mengadakan aktiviti itu pada hari Ahad, kesemua peserta akan bersarapan bersama-sama.
Beliau memberitahu, secara tidak langsung ini akan mewujudkan ikatan persahabatan selain bersenam.

No comments:

Post a Comment