Tuesday 9 August 2011

Manfaatkan Ramadan melalui Alhijrah

APABILA gadis kacukan Yahudi-Kristian datang berziarah ke Kuala Lumpur semata-mata untuk memahami Islam melalui ibadah Ramadan, maka ini satu kejutan. Manakan tidak, gadis kelahiran New York ini muncul di ibu kota ketika pelbagai tragedi pengeboman Bali baru saja berlalu.
Apa yang dicari gadis yang membesar di Gereja Unitarian ini?
Apakah dengan membaca iklan yang ditawarkan di Lonely Planet cukup untuk meyakinkan gadis yang berkerja sebagai Perunding Risiko? Ini antara elemen persoalan yang menarik - dan penonton akan mendapat jawapan apabila menyaksikan dokumentari empat episod One Month Ramadan in Kuala Lumpur yang akan bersiaran mulai 12 Ogos ini, pada 9.30 malam, setiap Jumaat. Manakala episod kemuncaknya akan disiarkan pada 29 Ogos.
Perjalanan Lydia Perr yang memberanikan diri datang ke Malaysia walaupun diberi amaran keras oleh keluarga dan sahabatnya mengenai ‘ketegangan’ di Asia Tenggara, antara program menarik yang disediakan TV AlHijrah melalui kempen Ramadan Satu Perjuangan.
“Saya sangat mengagumi keberanian gadis ini dia tak pernah tahu Malaysia, tapi dia nekad untuk datang dan berpuasa selama sebulan di sini,” kata Penerbit, Idris Sheikh Ahmad.
Sepanjang sebulan itu, banyak jalur pengalaman dilalui gadis berusia 26 tahun ini, selain berpuasa, Lydia turut menikmati pengalaman berniaga di pasar Ramadan dan menyediakan juadah berbuka.
“Dia juga hadir melihat orang berterawih, malah sempat mengacau dodol untuk Aidilfitri,” kata Idris.
Selain wajah gadis Amerika Syarikat yang merantau untuk menikmati Ramadan di ibukota, kempen Ramadan Satu Perjuangan turut membawa penonton jauh ke Melbourne, Australia.
Bagi melengkapkan kepelbagaian wajah Islam dan perjuangan ibadah puasa di seluruh dunia, TV AlHijrah turut menyediakan program Ramadan di Australia: Brothahood, untuk memberi ruang kepada penonton melihat dengan lebih dekat suasana Ramadan di Melbourne.
Brothahood ialah kumpulan hip hop Islam paling popular di Australia. Melalui kehidupan harian Brothahood yang disertai pelbagai etnik Islam, wajah Ramadan di Australia terserlah dengan silang budaya antara budaya Arab, India dan Turki.
“Brothanhood dipilih kerana komitmen mereka yang konsisten dalam memperjuangkan Islam melalui muzik,” kata Penerbit program, Azhar Adnan.
Perjalanan harian Brothahood yang dianggotai lima anak muda Australia berdarah Arab, Turki dan Myanmar ini, dirakamkan untuk memberi peluang kita melihat suasana bersahur, berbuka, bertarawih serta juadah dan budaya berpuasa di Australia.
Ramadan di Australia: Brothahood akan bersiaran pada 10 malam setiap Jumaat, manakala episod khas Aidilfitri disiarkan pada Jumaat pertama bulan Syawal.
Selain dokumentari, drama Islam antarabangsa turut melengkapkan kepelbagaian genre program dalam merealisasikan Ramadan Satu Perjuangan. Paling memeranjatkan, drama bersiri yang bersiaran sepanjang Ramadan ini dibawa dari Thailand.
Umme, drama 22 episod menjadi drama Islam bersiri pertama disiarkan di negara ini. Selain memberi ruang kepada penonton tempatan untuk mengenal hati nurani umat Islam di Thailand, drama ini juga satu pilihan sekiranya drama-drama tempatan dilihat stereotaip.
Umme menelan belanja RM600 ribu, dan menjadi fenomena kepada umat Islam Thailand ketika disiarkan sepanjang Ramadan tahun lalu. Gandingan pelakon Islam dan bukan Islam, serta disokong kualiti sinematografi industri filem negara Gajah Putih itu, menjadikan siri ini satu yang wajar ditonton.
Berlatar belakangkan tragedi Tak Bai di Narathiwat pada 2004, drama ini mengangkat perjuangan seorang ibu untuk membesarkan dua anaknya setelah suaminya mati dalam rusuhan.
Perjuangan Umme ialah untuk memastikan anak-anaknya berjaya dalam pendidikan, membesar sebagai warga profesional dan menjadi aset kepada pembangunan negara. Tema filem ini, ialah aspirasi seorang ibu untuk menjadikan ilmu pengetahuan sebagai jalan keluar kepada kemiskinan keluarganya, sekaligus memberikan kita impak untuk memahami persekitaran pemikiran umat Islam Thailand.
Umme disiarkan 6 petang, setiap Isnin hingga Khamis.
Selain tiga program dengan latar sejagat ini, kempen Ramadan Satu Perjuangan turut memaparkan 14 lagi program bertemakan bulan ibadah puasa ini. Bagi peminat dokumentari Islam, pilihan anda tentulah Ayat Riwayat.
Ayat Riwayat dokumentari khas terbitan TV AlHijrah menjejak lokasi-lokasi dunia yang sejarahnya dicatatkan dalam Al Quran.
Melihat lokasi-lokasi yang dipaparkan dengan persekitaran masa kini, akan memberi kita ruang memahami sejarah dan peristiwa penting yang dikaitkan dengan tempat-tempat tersebut dan dinyatakan dalam ayat-ayat Al Quran.
Ayat Riwayat akan bersiaran pada 6.30 petang, setiap hari sepanjang Ramadan.
Oleh Zainal Rashid Ahmad

No comments:

Post a Comment