Tuesday 27 September 2011

Apa itu gamat.

Masyarakat Melayu, khususnya Langkawi telah menggunakan gamat sejak 400 tahun lalu, malah gamat juga digunakan secara meluas di negara China sejak tahun 1757. Gamat juga dikenali dengan nama lain iaitu ´ginseng laut´. Gamat ialah sejenis hidupan yang terdapat di dasar laut dan digunakan turun-temurun di kalangan masyarakat Melayu untuk menyembuh luka luaran mahupun dalaman, dan ia turut digunakan oleh wanita-wanita selepas bersalin.

Terdapat kira-kira 1000 spesies gamat di seluruh dunia. Di Malaysia terdapat lebih kurang 30 spesies gamat di pantai-pantai seperti Langkawi, Pangkor, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Gamat hidup di kawasan perairan yang bersih, berpasir dan berbatu karang. Kawasan-kawasan perairan ini mengandungi banyak galian penting yang diserap oleh gamat menerusi pemakanannya.

Gamat boleh didapati dalam pelbagai saiz, warna dan bentuk. Tekstur kulitnya licin, bergerutu dan lain-lain. Gamat bersifat unik kerana ia membolehkan sel-selnya berkembang dan bersambung semula dengan cepat apabila tisu badannya luka dan terputus. Keunikan ini menyebabkan gamat menjadi dua ekor apabila badan asal dipotong dan dikembalikan ke laut.

Gamat juga dikenali dengan pelbagai jenis nama antaranya ialah Trepang, Balat, Timun Laut dan dalam bahasa Cina pula ´Hoi Sum´. Bagi masyarakat Barat mereka mengenali gamat sebagai ´sea cucumber´ atau timun laut.

Gamat tergolong dalam kumpulan Phylum Echinodermata kelas Holothuroidea dan boleh membesar lebih kurang 60 hingga 90 sentimeter panjang. Gamat yang terdapat di kawasan perairan yang sejuk adalah yang paling kecil. Haiwan ini mempunyai mulut berbentuk tentakel yang terletak di hujung badannya. Ini dapat membantu ia menangkap dan menghantar makanan ke dalam mulut.

Gamat mengandungi bahan mineral seperti potasium, magnesium, fosforus, kalsium, zat besi, zink, kromium, mangan dan kandungan lain yang terdapat dalam gamat ialah air sebanyak 8.9%, protein 82%, lemak 1.7%, karbohidrat 4.8% dan ash 2.6%. Malah satu kajian terbaru menunjukkan gamat juga mengandungi kandungan lemak polyunsaturated yang tinggi iaitu Omega-3FA: EPA, DHA.

Bagi sesetengah orang, mereka berasa geli melihat haiwan ini tetapi jika kita makan atau minum ekstraknya, kita dapat merasai kebaikan dan khasiatnya. Ekstrak gamat mengandungi kolagen penting untuk industri kosmetik kerana mampu memberi ketegangan pada tisu muka dan kulit kita. Selain itu, dua ciri ekstrak gamat yang bersifat antifungal dan antimirobial berkesan untuk rawatan kulit kerana dapat mengelakkan kulit muka berkulat. Malah kandungan glukosamina dan kondroitin dapat melegakan sakit sendi seperti artritis dan gout.

Antara kebaikan haiwan ini ialah ekstrak ia menolong melancar dan meningkatkan pengaliran darah dengan baik. Air gamat atau minuman jeli gamat dapat mengurangkan bengkak, inflamasi, meredakan luka dalaman, dan sakit-sakit badan. Selain daripada itu, ia juga dapat membantu mengurangkan tahap darah tinggi bagi pesakit hipertension. Malah air gamat juga baik untuk pesakit yang mengalami ulser dan sakit tekak. Minyak dan jel gamat boleh digunakan untuk luka luaran dan gigitan serangga.

Masyarakat di Taiwan lebih gemar memakan daging gamat. Daging haiwan ini juga dikeringkan dan dijadikan dalam bentuk serbuk untuk kegunaan merawat luka-luka luaran. Selain itu, serbuk tersebut turut digunakan untuk dijadikan minuman. Amerika Syarikat dan Australia telah menjalankan kajian ke atas gamat serta menggunakan gamat dalam beberapa produk kesihatan.

Produk daripada gamat sesuai untuk kegunaan semua peringkat umur. Kanak-kanak yang berumur lebih daripada satu tahun boleh diberikan 1/3 dos daripada orang dewasa tetapi tidak sesuai untuk bayi di bawah umur satu tahun. Walaupun begitu terdapat alahan pada peringkat awal bagi mereka yang mencuba produk gamat seperti kerap membuang air kecil, cirit-birit dalam dua atau tiga hari pertama mencuba produk tersebut. Produk gamat juga dapat meningkatkan selera makan. Bagi kes gout, banyak respons diterima yang menyatakan bahawa kesakitan agak berlebihan di peringkat awal tetapi beransur kurang pada tahap seterusnya. Tetapi penggunaan gamat haruslah disesuaikan dengan tahap kesihatan seseorang.

No comments:

Post a Comment