Tuesday 4 October 2011

kepentingan belajar


Menurut Stephen Covey, penulis buku 7 Habits of highly effective people, disiplin bermaksud kebolehan untuk membuat janji dan mengotakannya. Contohnya, disiplin diri yang mudah ialah mengemaskan tempat tidur sebaik sahaja bangun daripada tidur. Banyak ketikanya, apabila anda sudah berniat atau berazam untuk mengemas tempat tidur setiap pagi, anda tidak terasa hendak melakukannya kerana mengantuk, hendak cepat atau tidak ada mood untuk mengemas. Namun, seseorang yang berdisiplin untuk mengemas, dia pasti akan mengemas tempat tidurnya walau apa jua keadaaan sekalipun. Ini bermaksud, dia sentiasa berusaha untuk mengotakan janjinya.
Adakah anda seorang yang berdisiplin? Kekurangan disiplin adalah salah satu sebab utama mengapa pelajar gagal menjadi cemerlang. Contohnya, saya banyak lihat contoh kawan-kawan saya sendiri yang sangat cemerlang di zaman persekolahan namun gagal di universiti. Mengapa? Di universiti tidak ada orang yang akan kejutkan anda dari tidur. Di universiti tidak ada orang yang akan marah anda jika anda ponteng kelas. Di universiti tidak akan ada orang akan marah jika anda malas membuat assignment. Disebabkan tidak ada disiplin, pelajar-pelajar ini memilih untuk merasa selesa dan menikmati keseronokan cepat dengan tidur lewat dan bangun lewat, buat kerja saat akhir dan sebagainya.
Sama seperti disekolah. Menurut pemerhatian dan pengalaman saya mengendalikan kaunseling untuk ibu bapa, saya lihat banyak pelajar sekolah rendah yang cemerlang bermula darjah 1 hingga darjah 3. Namun yang pelik, prestasi mereka semakin menurun apabila mereka memasuki darjah 4 dan seterusnya. Mengapa agaknya?
Satu penjelasan yang dapat saya fikirkan ialah, jika anda cemerlang di peringkat bawahan, anda mempunyai potensi dan kebolehan secara intellektual. Dalam erti kata lain, anda ada bakat dalam bidang pelajaran. Namun jika prestasi semakin jatuh apabila usia meningkat, ia menunjukkan anda mempunyai tahap disiplin diri yang rendah.
Begini, pada tahap bawahan, banyak pelajar yang boleh mengingat dan menjawab dengan baik dalam dewan peperiksaan hanya dengan mendengar penjelasan guru di dalam kelas sahaja. Sekali dengar, terus boleh ingat dan boleh jawab dalam dewan peperiksaan. Namun, bermula darjah 4, sukatan pelajaran menjadi lebih sukar. Anda tidak akan berjaya hanya dengan bergantung kepada apa yang anda dengar dan lihat dalam kelas sahaja. Anda perlu latihan tambahan di luar waktu kelas. Dalam kata lain, anda perlu buat banyak latihan dan kerja rumah. Bila sudah banyak kerja rumah dan latihan, barulah anda boleh praktikkan dan menjawab dengan baik dalam dewan peperiksaan.
Bagaimana dengan anda? Saya percaya anda ada berazam dan memasang niat untuk berjaya dalam bidang yang anda lakukan. Adakah anda mendisiplinkan diri anda membuat latihan yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang anda? Jika anda tidak cemerlang atau tidak hebat kerana tidak berdisiplin, ini bermaksud anda masih boleh lakukan sesuatu untuk mengubahnya. Bagaimana? Latih diri untuk menguatkan disiplin diri. (saya akan terangkan tentang teknik ini dalam posting akan datang).
Apa kaitannya disiplin dengan bulan Ramadhan pula? Saya akan terangkan esok. :)

No comments:

Post a Comment