Sunday 24 April 2011

KEMUDAHAN INTERNET

 Internet merupakan satu penemuan teknologi yang mula mendapat tempat dalam kalangan manusia kini. Malah penggunaan internet sudah dianggap sebagai satu perkara lumrah kehidupan. Mereka yang tidak tahu menggunakan internet dianggap sudah ketinggalan dalam zaman yang penuh cabaran ini. Penggunaan internet telah menyebabkan penyebaran maklumat menjadi lebih meluas dan murah sehingga memberi pelbagai kesan kepada kehidupan manusia.
     Penyebaran maklumat secara meluas dan murah telah memberi satu identiti kepada internet iaitu sebagai penyebar berita palsu atau khabar angin. Penggunaan internet dalam soal ini amat ketara terutama oleh golongan yang mahu melihat kemusnahan sesebuah negara. Penyebaran khabar angin amat berkesan melalui internet kerana penggunaannya yang meluas dan mudah terutama di kalangan remaja. Internet juga tidak mempunyai sistem penapisan yang ketara atau berkesan seperti media massa yang lain.
     Masyarakat juga sudah taksub dengan penggunaan internet dengan tidak lagi mengamalkan aktiviti kunjung mengunjungi satu sama lain terutama antara jiran atau sahabat. Hubungan “siber” (cyber) lebih meluas sekarang terutama dengan adanya program dalam internet yang memudahkan seseorang itu berbual dengan orang lain tanpa perlu bersemuka dengannya. Interaksi antara jiran bukan sahaja terhapus malah hubungan ini boleh menyebabkan berlakunya penipuan dan perkara yang kurang baik kerana ketiadaan pengenalan diri yang jelas. 


ANIS FARAHIN

No comments:

Post a Comment